Monday 30 April 2012

Entri ke- 37

Bahasa Pidgin

Pidgin juga dikenal sebagai bahasa pasar (Kamus Dewan, 1996: 88). Bahasa pasar ialah bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang bukan Melayu yang tidak menguasainya atau bahasa seperti yang dituturkan oleh orang Melayu apabila bertutur dengan orang bukanMelayu yang diketahuinya tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu yang betul.Bahasa pasar merupakan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa ibunda dengan bahasa kedua yang cuba dituturkannya.


Bahasa pasar atau pidgin tidak mempunyai sistem tatabahasa yang tertentu.Maksudnya bahasa pasar tidak gramatis sifatnya jika dibanding dengan bahasa baku. Penutur bahasa pasar menggunakan kata-kata dalam Bahasa Melayu dengan dicampur aduk dengan bahasa asing, iaitu bahasa ibunda penutur itu. Jika penutur itu orang Cina, maka kata-kata daripada bahasa Cina dicampuradukkan dengan bahasa Melayu. Lazimnya kata-kata bahasa Melayu dicampuradukkan dengan kata bahasa asing dan mengucapkannya mengikut struktur ayat bahasa asing.


Selain itu jika dilihat melalui aspek intonasi atau lagu bahasa juga, didapati aka nada sedikit pengaruh oleh intonasi bahasa asing seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, Bahasa Benggali, Bahasa Inggeris dan sebagainya. Menurut Za’ba, gaya yang dipakai ketika orang-orang Melayu bercakap sama-sama Melayu dinamakan “Gaya cakap mulut sahaja”.


Contoh penggunaan:

(a) You free tak malam ni?

You datanglah my house and kita boleh study sama. Family I tak de so u boleh temankan I kat umah

.
(b) Lu mau beli ikan ke?. Ini ikan cukup baik le. Lu beli manyak-manyak. Lu pilih dulu cali beto-beto baik punya. Wa cakap beto, wa tak tipu lu la,manyak mulah oi. 

(c) Saya punya anak hari-hari dia surat khabar baca. Hari-hari dia sekolah pagi. Dia naik itu api kereta.



Penggunaan bahasa pidgin ini banyak berlaku dalam kalangan pendatang atau golongan luar yang tidak menguasai penggunaan kosa kata bahasa Melayu dengan baik. Oleh hal yang demikian, deisebabkan keinginan yang kuat untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu, mereka cuba menggunakan bahasa Melayu mengikut kadar kemampuan mereka dan akan menyelitkan kosa kata bahasa ibunda mereka untuk menggantikan kosa kata bahasa Melayu yang betul. Namun, jika bahasa ini terus dikekalkan akan wujud juga sedikit masalah dalam pencemaran bahasa kerana mereka akan terus menggunakan tatabahasa dan kosa kata yang salah ketika berkomunikasi jika tiada penambahbaikan yang sewajarnya dilakukan.





Gambar ini tiada kaitan dengan situasi cuma diadakan untuk menceriakan suasana ketika proses pembacaan berlaku.


Entri ke- 36


Perancangan bahasa


‘Perancangan bahasa’ merujuk kepada proses pembinaan dan pengembangan sesuatu bahasa untuk tujuan tertentu. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam bentuk undang-undangnya, perancangan bahasa Melayu diasaskan pada Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

Perancangan bahasa di Malaysia secara rasmi telah bermula satu tahun sebelum kemerdekaan apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggaknya, iaitu sebagai bahasa penghantar utama. Usul Jawatankuasa Razak berserta usul penegasan Jawatankuasa Rahman Talib (1960) telah dijadikan asas Akta Pelajaran 1961 yang selama puluhan tahun menjadi asas pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini; malah Akta Pendidikan 1996 yang menggantiakn Akta Pelajaran 1961 pun dapat dikatakan mengekalkan semangat yang diusulkan oleh Penyata Razak. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Bahasa pada tahun itu juga merupakan usaha perancangan bahasa yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi pembinaan negara.


Pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden untuk mengisi keperluan pembangunan negara telah dilakukan secara terancang apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, mula-mula sebagai jabatan kerajaan dan kemudian dengan lulusnya Akta DBP 1959, bertukar tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan. Pembinaan bahasa yang dikenal juga dengan nama perancangan korpus bahasa dilakukan dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.


Dalam usaha memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk menjadikannya berupaya menjadi bahasa ilmu moden, ribuan pakar dalam ratusan bidang, yang kesemuanya merupakan aset negara telah dan sedang terlibat secara intensif melakukan penggubalan istilah, menyusun glosari dan kamus istilah serta mengembangkannya dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam pengurusan institusi profesional masing-masing. Dalam usaha memperluas sumbangan kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka sudah pun merancang dan memulakan gerak langkah meliibatkan pakar-pakar ilmu dan profesional itu dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing, iaitu sebagai peningkatan dan peluasan daripada kerja penggubalan istilah selama ini.


Pengembangan bahasa Melayu di sektor swasta: Usaha dalam sector ini dimulakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1996 melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta. Empat bidang utama diberi tumpuan perhatian, iaitu Perdagangan Dalam Negeri, Industri Khusus, Industri Perkhidmatan Kewangan dan Media Massa. Dalam setiap bidang utama itu, terdapat beberapa subbidang hingga akhirnya terdapat lebih 10 bidang yang ditangani untuk mengembangkan bahasa kebangsaan dalam sektor swasta.


Proses perancangan bahasa ini adalah terbit daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah lakuan manusia yang serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya, istilahnya, dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah dikenal pasti dan dikodkan. Negara Malaysia, memang terlibat secara langsung di dalam hal ini untuk lebih daripada tiga puluh tahun lalu. Sebenarnya usaha merancangkan bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak perubahan kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua peringkat perancangan bahasa, dan melakukan semua aktiviti yang dibincangkan di atas. Banyak kebaikan dan masalah yang turut timbul.



Friday 27 April 2012

Entri ke- 35


Penggunaan istilah dalam kalangan remaja.


Pernahkah anda mendengar istilah pelik yang sering digunakan remaja sekarang?Kebiasaannya istilah ini digunakan remaja bagi mengelakkan difahami orang veteran dn mudah difahami sesama mereka. Di sini saya senaraikan beberapa istilah yang sering kita dengar dan diujarkan mereka.

'ANAK IKAN' >> bukan bermaksud 

tetapi, maksudnya ialah kekasih simpanan yang lebih muda.


'CIKARO' >> Kekasih (biasanya disebut oleh golongan rempit).

'BAPA AYAM' >> Bukan bermaksud seperti gambar di bawah

tetapi, bermaksud lelaki yang mengetuai sindiket penjualan wanita atau pelacuran.

'SUGAR DADDY' >>  Lelaki yang membela wanita simpanan.

'BALAK' >> Teman lelaki.

'KUTU RAYAU' >> Mereka yang suka melepak tanpa hala tuju.

Sebenarnya banyak lagi istilah yang sering digunakan masyarakat kita pada hari ini untuk mengambarkan sesuatu. Kebiasaannya istilah seperti ini sering digunakan remaja untuk memudahkan perbualan mereka.Hal ini demikian kerana bahasa seperti 'cikaro', 'balak' hanya digunakan dalam kelompok mereka dan hanya difahami oleh sesetengah pihak sahaja. Istilah seperti ini kadangkala boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Hal ini kerana istilah seperti ini dapat menjadi kiasan di sebalik maksud yang sebenarnya dan salah satu keburukannya  tidak difahami oleh sesetengah pihak.

Thursday 26 April 2012

Entri ke-34


Sopankah anda ketika bersembang atau memanggil rakan?


Saya terpanggil  untuk berkongsi sesuatu yang saya rasa tidak wajar kita sebagai seorang bakal guru melakukan hal yang sedemikian. Apa yang ingin saya kongsikan adalah budaya menjerit-jerit memanggil rakan. Jeritannya itu boleh didengari di seluruh blok. Dia berada di tingkat atas manakala rakannya tersebut berasa satu aras dengan saya. Jeritannya yang sangat kuat menyebabkan orang lain mungkin terkejut dan menyebabkan mengganggu orang lain yang mungkin sedang tidur atau membuat tugasan.  Jeritannya itu sering berbunyi seperti ini:

“Intan….!!!! Intan…!!! Oiii Ko dengar ke tak aku panggil ni”
“Woi… Aku dengar,  kenapa”
“Bla…Bla…Bla…”


Mereka bersembang-sembang walhal pada ketika itu seorang berada di tingkat atas dan seorang lagi di tingkat bawah. Suara mereka sungguh bising dan kadang kala menimbulkan kemarahan orang lain. Pada pendapat saya, sekiranya kita ingin bersembang atau bertanyakan sesuatu pergilah ke bilik atau ke rumah bukannya menjerit seperti terkena histeria. Ia merupakan suatu perbuatan yang tidak sopan sebagai seorang perempuan untuk menjerit-jerit sebegitu rupa. Perbuatan tersebut bukan sahaja tidak sopan tetapi menunjukkan bahawa kita tidak tahu menghormati orang lain dan tidak beradab. 
Sudahlah bercakap dengan kuat, bahasa yang digunakan juga kadang kala sangat kasar tidak menunjukkan sifat keperempuanan dan kurang sopan. Bagi pendapat saya juga, budaya ini sebenarnya terdapat di mana-mana sahaja dan bukan sahaja berlaku di sini iaitu Kolej Harun Aminurrashid. Di sini saya bukanlah ingin memburukkan sesiapa namun perbuatan yang dilakukan tersebut sangat melampau dan mengganggu orang lain. Oleh itu, sebagai seorang guru  kita haruslah mempunyai sikap-sikap yang baik dan sopan kerana kita akan menjadi model terbaik untuk pelajar kita kelak.

Wednesday 25 April 2012

Entri ke- 33


Sistem panggilan


Zaman sekarang tidak seperti zaman dahulu, panggilan untuk ibu bapa dahulu kebanyakannya memanggil emak dan ayah atau emak dan abah tetapi sekarang panggilan tersebut sudah bervariasi. Situasi ini umpama ingin mencipta satu kelainan daripada keluarga yang lain.

Seiring dengan peredaran masa, nama emak ini saya rasakan semakin jarang digunakan. Jika orang Kelantan, panggilan untuk emak sangat berbeza dengan negeri-negeri lain kerana biasanya panggilan untuk emak ialah “Mek”. Manakala panggilan “‘Mak” atau bunyi dalam dialek Kelantan “Mok” adalah panggilan untuk nenek.

Ini antara panggilan-panggilan yang biasa digunakan sekarang untuk panggilan kepada ibu bapa:

 
Mama dan Papa
Ibu dan Ayah
Mama dan Baba
Mummy dan Daddy
Emak dan Ayah/ Abah
Ummi dan Abi
Bonda dan Ayahanda

Kebiasaanya, panggilan untuk ibu bapa ini dipengaruhi oleh faktor seperti taraf ekonomi, taraf pendidikan, kawasan kediaman sama ada desa atau bandar, keturunan, bangsa dan sebagainya. Menurut seorang ustaz, panggilan terbaik untuk bapa ialah Abi manakala untuk emak ialah Ummi kerana panggilan inilah yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW. Panggilan Mummy tidak sesuai digunakan kerana membawa pengertian hantu kubur. 

Sehubungan itu, gunalah panggilan yang sesuai megikut agama, bangsa dan adat kita. Kadang kala sesuatu panggilan dapat mempengaruhi keeratan perhubungan kita dalam keluarga.


Tuesday 24 April 2012

Entri ke- 32

Bahasa Halus


Bahasa halus merupakan bahasa pertuturan yang digunakan oleh penutur yang berpendidikan.

Michael West

Melihat bahasa halus sebagai sesuatu yang bersopan santun ataupun “ having a nice mind.”

Asmah Haji Omar

“Bahasa halus ialah bahasa yang digunakan dengan penuh sopan dan tertib walau dalam keadaan apa sekalipun”.

Bahasa halus ialah  sistem bahasa yangg beradat, bersopan santun dan berbudaya tinggi. Digunakan untuk menghormati orang yang dilawan bercakap,  menjaga  perasaan  orang  yang dilawan berckap, mewujudkan  kemesraan dan menghormati peraturan adat istiadat.

Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat, umur dan kekakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi   pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Bahasa haus  menggunakan nada pengucapan yang rendah, lembut dan menimbulkan kemesraan.

Contoh Bahasa Halus:

Kurang manis
Kiasan pemanis
Bunting/mengandung
Berbadan dua
Kubur
makam
Lama hidup
Panjang umur
Sesak nafas
Pendek  nafas
Pandai berkata-kata
Manis mulut
Upacara mandi semasa hamil 7 bulan
Melenggang perut
Pusat pengajian tinggi
Menara gading
Musim hujan selalu turun
Musim tengkujuh
Orang yang mengahwini perempun yang hamil
pak sanggup
Perangai yang gila-gila
Buang tabiat
Mengandung selepas berkahwin
Bunting pelamin
Haid
Datang bulan
Menerangkan sesuatu dengan hormat kepada raja
Berdatang sembah
Pelayan diraja
bida
Hamba perempuan raja
Beti-beti
Hubungan jenis yang halal antara suami isteri
Nafkah batin
isteri
Orang rumah
Penyakit cacar atau ketumbuhan
Penyakit orang baik





















Bahasa halus memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Penggunaan bahasa mencerminkan  disiplin dalam kalangan masyarakat terutama apabila berkomunikasi . Apa yang signifikan, bahasa halus dituntut penggunaannya untuk mengelakkan seseorang itu tersinggung kerana kata-kata yang kurang enak didengar.