Wednesday 6 March 2013


10.11.12
Kenangan...Kesedihan..kecintaan...Keredhaan...



Arwah abah.

Cantik sungguh tarikh pada hari ini. Ya! Sangat cantik. Rugi kiranya tidak mengabdikan sesuatu pada tarikh ini. Kata hatiku. Sedang masa sedang berjalan, aku mula berfikir, kalau orang lain sudah mempunyai ikatan dengan pasangannya…tapi aku masih belum sampai masa itu, tidak salah kalau aku menukar profile picture dalam facebook aku untuk menunjukkan keinginanku melangkah ke fasa seterusnya. Gatal sahaja tanganku membuka album perkahwinan abangku pada hari raya cina lepas. Aku memilih satu gambar yang mempamerkan sepasang cincin tanda ikatan perkahwinan antara abang dan kakak iparku. Aku mula memuat naik gambar tersebut dalam facebook. Selepas memuat naik gambar tersebut, aku membiarkan sahaja. Jam 7.10 minit malam, aku membuka kembali facebook. 

Wah! Ramai yang telah menyukai gambar yang telah aku muat naik sebentar tadi. Aku tersenyum sendirian selepas membaca komen rakanku. Ternyata mereka mengetahui isi hatiku walhal aku hanya sekadar ingin suka-suka sahaja. Ah! Biarkan, sekarang sudah waktu maghrib, aku bangun dan duduk di atas kerusi sambil mendengar bacaan al-quran yang dibaca oleh ayahku. Tanpa disedari aku mengikut bacaan yang dibaca oleh ayahku dalam solat. Sungguh sedap bacaannya dan jelas. Aku termenung. Entah kenapa pada malam ini ku rasa sungguh berbeza. Sedar-sedar ayahku sudah selesai menunaikan solat maghrib. Seperti biasa ibuku akan solat dahulu selepas ayahku. Aku membiarkan sahaja. Tiba-tiba bunyi ketukan di pintu. Berdebar hatiku. Ku lihat kakakku dan anak-anaknya muncul di hadapan pintu. Amni!! Jeritku. Terus ku pangku anak saudaraku yang berusia 4 bulan untuk berjumpa dengan ayahku. Sudah menjadi kebiasaan apabila kakakku pulang, aku akan memangku anak saudara untuk berjumpa ayahku. Namun, pada malam ini anak saudaraku menangis selepas melihat wajah ayahku yang sedang tersenyum untuk memegangnya. Reaksinya pada waktu tersebut seakan-akan terkejut. Aku membawanya naik ke atas dan membaca ayat qursi dan ayat-ayat lazim. Tangisannya berkurang. Pada tanggapanku mungkin Amni masih terkejut dengan persekitaran baru. Selepas reda tangisan, aku memangku Amni untuk diberikan kepada ayahku. Terkejut! Amni menangis lagi seolah-olah takutkan sesuatu. Aku berseloroh dengan ayahku.” Tok Ayah ada hantu nie..” ayahku hanya tersenyum sambil memberitahu “Tok Ayah nak pergi kerja, kalau ambil Amni, nanti nangis lagi”. Sementara itu, kakakku dan abang iparku sempat bersalam dengan ayahku dan berbual-bual. Aku memberikan Amni kepada kakakku dan pada ketika itu kulihat ayahku sedang membaiki jam di dinding. Ku tanya “waktu sekarang salah ke abah? Namun ayahku hanya diam seribu bahasa. Aku terus pergi mengambil wudhuk untuk menunaikan solat maghrib. 

Selesai mengambil wudhuk aku terdengar ayahku memanggilku. Adik! Adik!. Aku membuka pintu. Rupanya-rupanya ayahku tertinggal baju melayunya. Aku mengambil baju tersebut dan terus memberikan kepadanya. Pintu kututup. Aku naik untuk menunaikan solat maghrib. Selepas menunaikan solat, temanku menelefon. Aku hanya mendengar perbualan di antara dia dengan ibunya. Banyak perkara yang dibualkan. Aku tersenyum sendirian. Tiba-tiba ibuku masuk ke dalam bilik.”Adik, cuba telefon abah..ada orang beritahu abah kemalangan”. Aku terus memutuskan talian dengan temanku. Ya Allah! Betulkah? Semoga ayahku selamat. Aku mencuba menelefon ayahku namun tidak dijawab. Hatiku gundah. Tiba-tiba jiranku datang dan memberitahu tentang keadaaan ayahku. Aku terus pergi ke sana bersama abangku dan abang iparku. Keadaan ketika itu sungguh sesak. Ya Allah..selamatkanlah ayahku, semoga dia tidak mendapat kecederaan. Pada waktu itu, aku merasakan ingin terbang ke tempat kejadian. Kugesa abang iparku supaya memberhentikan kenderaan. Aku berlari ke arah kawasan yang dikelilingi orang ramai. Mana abah saya?mana abah?. Terdengar seorang lelaki bertanya, “awak ini siapa?”, “saya anak tuan kereta”. Bawa bersabar ye...tuan kereta sudah tidak ada. Ya Allah! Aku bermimpikah?aku menjenguk ke dalam kereta, kulihat susuk tubuh ayahku yang tercinta ditutup mukanya dengan baju melayu yang aku berikan padanya tadi. Ya! Baju itu! Innalillahiwainnailahirojiun. Aku mengucap panjang. Air mataku gugur bersama lafaz kalimah Lailahaillah. Ayahku telah pergi menemui penciptanya. Dia terbabas ke tengah pembahagi jalan akibat serangan strok. Walaupun tidak ada kecederaan, namun Allah lebih sayangkn ayahku. Sebanyak mana kasih dan sayangnya kami kepada dia, namun Allah lebih sayangkan dia. Aku redha dengan ketentuan Allah walaupun hati ini berat untuk melepaskannya pergi. Aku sedih apabila terbayang gelak tawanya ketika bergurau dengan kami pada pagi hari kejadian. 

Pada petang kejadian, kami makan bersama-sama. Tiada satu pun tanda atau perubahan yang menunjukkan bahawa ayahku akan pergi meninggalkan kami. Ayahku pergi sebelum sempat melihat kejayaanku di menara gading. Satu-satu anaknya yang berjaya masuk ke universiti dalam bidang pendidikan, bidang yang selalu dia angan-angankan untuk melihat anaknya berjaya menjadi seorang guru. Bukan sahaja tidak sempat melihat aku menjadi seorang guru, bahkan tidak sempat untuk menghadiri majlis konvokesyenku pada tahun hadapan. Walaupun abah sudah tiada, namun insyaAllah doa abah akan menjadi bekalan untuk anakmu meneruskan impianmu selama ini. Tidak pernah sekali terdetik di hati ini bahawa abah sudah jauh meninggalkan kami. Masih dekat rasanya kasih sayang abah terhadap kami, malahan kami merasakan belum cukup puas menyumbang kasih dan membuat abah gembira. Semuanya tidak sempat. Sudah hilang kawan untuk bergaduh, bergurau manja. 

Abah tidak mudah mengambil hati. Abah suka bergurau dengan adik. Anak-anak lain takut dengan abah, sampaikan abah bercerita dengan kawannya bahawa dia memang akan mengalah dengan anak bongsunya kerana jika dia marah, anak bongsunya tidak akan pergi, bahkan terus dekat, terus bercakap, terus memujuk sehingga dia mengalah.Ya! memang betul. Sebab itu abah rapat dengan anak bongsunya. Kalau merajuk, dia akan pujuk. Abah suka cakap kuat, anak bongsunya pun sama. Sebelum raya haji, abah tidak sabar-sabar menunggu kepulangan anak bongsunya.  Abah selalu telefon, “bila adik balik?”. Walupun sudah diterangkan berulang-ulang, abah masih bertanya. Begitu juga dengan anak bongsunya. Rasa tidak sabar hendak pulang ke rumah. Kalau boleh terbang, rasa ingin terbang. Tapi semua itu hanya kenangan. Kenangan terindah bersama abah. Abah pergi tanpa meninggalkan pesan, tanpa memberi peluang untuk anak-anak berbakti, tanpa memberi peluang anak-anak merasa kekalutan dan kesusahan untuk menjaga abah. Semuanya tidak merasa. Abah pergi dengan wajah yang tersenyum. Ku cium pipi dan dahi abah. Sejuk! Muka abah masih seperti biasa, tiada perubahan seolah-olah dia sedang tidur. Kami redha. Kini abah sudah tiada. Abah pergi pada tarikh 10.11.12. Tarikh yang menjadi idaman pasangan yang akan berkahwin. Semoga abah tenang di sana dan segala amalan abah di dunia ini diterima Allah, semoga ditetapkan iman abah untuk berhadapan fitbah kubur. Adik akan selalu doakan abah sehingga nyawa adik diputuskan oleh Allah…in sha Allah!Amin.

Puisi untuk abah…
Abah….
Redup wajahmu setenang hatiku,
Senyummu terukir bersama garisan di dahi,
Kudratmu kuat tidak seperti usiamu,
Kasih sayangmu setebal gunung kinabalu,
Aku bersyukur dikurniakan ayah sepertimu,
Ayah yang ku sanjung tinggi,
Yang kulayan dengan segala kasih,
Yang kuberi dengan segala rasa sayang,...
ku merinduimu abah.........................................................................