10.11.12
Kenangan...Kesedihan..kecintaan...Keredhaan...
Arwah abah. |
Cantik
sungguh tarikh pada hari ini. Ya! Sangat cantik. Rugi kiranya tidak mengabdikan
sesuatu pada tarikh ini. Kata hatiku. Sedang masa sedang berjalan, aku mula
berfikir, kalau orang lain sudah mempunyai ikatan dengan pasangannya…tapi aku
masih belum sampai masa itu, tidak salah kalau aku menukar profile picture dalam facebook
aku untuk menunjukkan keinginanku melangkah ke fasa seterusnya. Gatal
sahaja tanganku membuka album perkahwinan abangku pada hari raya cina lepas.
Aku memilih satu gambar yang mempamerkan sepasang cincin tanda ikatan
perkahwinan antara abang dan kakak iparku. Aku mula memuat naik gambar tersebut
dalam facebook. Selepas memuat naik
gambar tersebut, aku membiarkan sahaja. Jam 7.10 minit malam, aku membuka
kembali facebook.
Wah! Ramai yang telah menyukai gambar yang telah aku muat
naik sebentar tadi. Aku tersenyum sendirian selepas membaca komen rakanku. Ternyata
mereka mengetahui isi hatiku walhal aku hanya sekadar ingin suka-suka sahaja.
Ah! Biarkan, sekarang sudah waktu maghrib, aku bangun dan duduk di atas kerusi
sambil mendengar bacaan al-quran yang dibaca oleh ayahku. Tanpa disedari aku
mengikut bacaan yang dibaca oleh ayahku dalam solat. Sungguh sedap bacaannya
dan jelas. Aku termenung. Entah kenapa pada malam ini ku rasa sungguh berbeza.
Sedar-sedar ayahku sudah selesai menunaikan solat maghrib. Seperti biasa ibuku
akan solat dahulu selepas ayahku. Aku membiarkan sahaja. Tiba-tiba bunyi
ketukan di pintu. Berdebar hatiku. Ku lihat kakakku dan anak-anaknya muncul di
hadapan pintu. Amni!! Jeritku. Terus ku pangku anak saudaraku yang berusia 4
bulan untuk berjumpa dengan ayahku. Sudah menjadi kebiasaan apabila kakakku
pulang, aku akan memangku anak saudara untuk berjumpa ayahku. Namun, pada malam
ini anak saudaraku menangis selepas melihat wajah ayahku yang sedang tersenyum
untuk memegangnya. Reaksinya pada waktu tersebut seakan-akan terkejut. Aku
membawanya naik ke atas dan membaca ayat qursi dan ayat-ayat lazim. Tangisannya
berkurang. Pada tanggapanku mungkin Amni masih terkejut dengan persekitaran
baru. Selepas reda tangisan, aku memangku Amni untuk diberikan kepada ayahku.
Terkejut! Amni menangis lagi seolah-olah takutkan sesuatu. Aku berseloroh
dengan ayahku.” Tok Ayah ada hantu nie..” ayahku hanya tersenyum sambil
memberitahu “Tok Ayah nak pergi kerja, kalau ambil Amni, nanti nangis lagi”.
Sementara itu, kakakku dan abang iparku sempat bersalam dengan ayahku dan
berbual-bual. Aku memberikan Amni kepada kakakku dan pada ketika itu kulihat
ayahku sedang membaiki jam di dinding. Ku tanya “waktu sekarang salah ke abah?
Namun ayahku hanya diam seribu bahasa. Aku terus pergi mengambil wudhuk untuk
menunaikan solat maghrib.
Selesai mengambil wudhuk aku terdengar ayahku
memanggilku. Adik! Adik!. Aku membuka pintu. Rupanya-rupanya ayahku tertinggal
baju melayunya. Aku mengambil baju tersebut dan terus memberikan kepadanya.
Pintu kututup. Aku naik untuk menunaikan solat maghrib. Selepas menunaikan
solat, temanku menelefon. Aku hanya mendengar perbualan di antara dia dengan
ibunya. Banyak perkara yang dibualkan. Aku tersenyum sendirian. Tiba-tiba ibuku
masuk ke dalam bilik.”Adik, cuba telefon abah..ada orang beritahu abah
kemalangan”. Aku terus memutuskan talian dengan temanku. Ya Allah! Betulkah?
Semoga ayahku selamat. Aku mencuba menelefon ayahku namun tidak dijawab. Hatiku
gundah. Tiba-tiba jiranku datang dan memberitahu tentang keadaaan ayahku. Aku
terus pergi ke sana bersama abangku dan abang iparku. Keadaan ketika itu
sungguh sesak. Ya Allah..selamatkanlah ayahku, semoga dia tidak mendapat
kecederaan. Pada waktu itu, aku merasakan ingin terbang ke tempat kejadian.
Kugesa abang iparku supaya memberhentikan kenderaan. Aku berlari ke arah
kawasan yang dikelilingi orang ramai. Mana abah saya?mana abah?. Terdengar
seorang lelaki bertanya, “awak ini siapa?”, “saya anak tuan kereta”. Bawa
bersabar ye...tuan kereta sudah tidak ada. Ya Allah! Aku bermimpikah?aku
menjenguk ke dalam kereta, kulihat susuk tubuh ayahku yang tercinta ditutup
mukanya dengan baju melayu yang aku berikan padanya tadi. Ya! Baju itu!
Innalillahiwainnailahirojiun. Aku mengucap panjang. Air mataku gugur bersama
lafaz kalimah Lailahaillah. Ayahku telah pergi menemui penciptanya. Dia
terbabas ke tengah pembahagi jalan akibat serangan strok. Walaupun tidak ada
kecederaan, namun Allah lebih sayangkn ayahku. Sebanyak mana kasih dan sayangnya
kami kepada dia, namun Allah lebih sayangkan dia. Aku redha dengan ketentuan
Allah walaupun hati ini berat untuk melepaskannya pergi. Aku sedih apabila
terbayang gelak tawanya ketika bergurau dengan kami pada pagi hari kejadian.
Pada petang kejadian, kami makan bersama-sama. Tiada satu pun tanda atau
perubahan yang menunjukkan bahawa ayahku akan pergi meninggalkan kami. Ayahku
pergi sebelum sempat melihat kejayaanku di menara gading. Satu-satu anaknya
yang berjaya masuk ke universiti dalam bidang pendidikan, bidang yang selalu
dia angan-angankan untuk melihat anaknya berjaya menjadi seorang guru. Bukan
sahaja tidak sempat melihat aku menjadi seorang guru, bahkan tidak sempat untuk
menghadiri majlis konvokesyenku pada tahun hadapan. Walaupun abah sudah tiada,
namun insyaAllah doa abah akan menjadi bekalan untuk anakmu meneruskan impianmu
selama ini. Tidak pernah sekali terdetik di hati ini bahawa abah sudah jauh
meninggalkan kami. Masih dekat rasanya kasih sayang abah terhadap kami, malahan
kami merasakan belum cukup puas menyumbang kasih dan membuat abah gembira.
Semuanya tidak sempat. Sudah hilang kawan untuk bergaduh, bergurau manja.
Abah
tidak mudah mengambil hati. Abah suka bergurau dengan adik. Anak-anak lain
takut dengan abah, sampaikan abah bercerita dengan kawannya bahawa dia memang
akan mengalah dengan anak bongsunya kerana jika dia marah, anak bongsunya tidak
akan pergi, bahkan terus dekat, terus bercakap, terus memujuk sehingga dia
mengalah.Ya! memang betul. Sebab itu abah rapat dengan anak bongsunya. Kalau
merajuk, dia akan pujuk. Abah suka cakap kuat, anak bongsunya pun sama. Sebelum
raya haji, abah tidak sabar-sabar menunggu kepulangan anak bongsunya. Abah selalu telefon, “bila adik balik?”.
Walupun sudah diterangkan berulang-ulang, abah masih bertanya. Begitu juga
dengan anak bongsunya. Rasa tidak sabar hendak pulang ke rumah. Kalau boleh
terbang, rasa ingin terbang. Tapi semua itu hanya kenangan. Kenangan terindah
bersama abah. Abah pergi tanpa meninggalkan pesan, tanpa memberi peluang untuk
anak-anak berbakti, tanpa memberi peluang anak-anak merasa kekalutan dan
kesusahan untuk menjaga abah. Semuanya tidak merasa. Abah pergi dengan wajah
yang tersenyum. Ku cium pipi dan dahi abah. Sejuk! Muka abah masih seperti
biasa, tiada perubahan seolah-olah dia sedang tidur. Kami redha. Kini abah
sudah tiada. Abah pergi pada tarikh 10.11.12. Tarikh yang menjadi idaman
pasangan yang akan berkahwin. Semoga abah tenang di sana dan segala amalan abah
di dunia ini diterima Allah, semoga ditetapkan iman abah untuk berhadapan
fitbah kubur. Adik akan selalu doakan abah sehingga nyawa adik diputuskan oleh
Allah…in sha Allah!Amin.
Puisi
untuk abah…
Abah….
Redup wajahmu setenang
hatiku,
Senyummu terukir
bersama garisan di dahi,
Kudratmu kuat tidak
seperti usiamu,
Kasih sayangmu setebal
gunung kinabalu,
Aku bersyukur
dikurniakan ayah sepertimu,
Ayah yang ku sanjung
tinggi,
Yang kulayan dengan
segala kasih,
Yang kuberi dengan
segala rasa sayang,...
ku merinduimu abah.........................................................................