Entri ke -42
Bahasa Menarik Hati tertambat
Sekiranya
kita menulis buku bahasa Melayu dan untuk dipasarkan di negara kita, bahasa
yang akan dan sepatutnya digunakan ialah bahasa Melayu. Begitu juga dari segi
penggunaan judulnya.
Hal
yang sama juga sepatutnya dilakukan dalam pembikinan filem Melayu. Penggunaan
bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing,
terutamanya penggunaan bahasa Inggeris perlulah dielakkan. Bentuk
penggunaan bahasa yang dikenali sebagai bahasa rojak ini semakin hari
semakin ketara, kononnya atas alasan ingin menggambarkan realiti masyarakat di
luar filem.
Lebih
parah lagi, untuk melihat penggunaan bahasa yang “sembarangan”, kita tidak
perlu bersusah payah menonton filem kerana boleh dilihat secara langsung dalam
penggunaan judulnya. Ada sesetengah filem yang sememangnya menggunakan bahasa
Melayu, tetapi judulnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa rojak. Misalnya,
Senario The Movie, Remp-it, Kami The Movie, Antoo Fighter, dan Lu Pikirlah Sendiri
The Movie.
Penggunaan judul: Apakah bahasa Melayu yang sepatutnya
digunakan di atas?
Dari Senario
The Movie. Episode 2. Beach Boys kepada Filem Senario. Episod ke-2.
Budak Pantai. Apa jawapan anda?
Selain
bahasa rojak, dalam filem Melayu juga ada kecenderungan penggunaan dialek.
Walau bagaimanapun, cara tersebut tidak salah selagi sesuai dengan watak dan
konteks penggunaannya. Penggunaannya jauh lebih baik daripada bahasa rojak dan
slanga, dan masih boleh diterima kerana dialek adalah sebahagian daripada
bahasa kita. Melalui penonjolan pengunaan dialek dalam filem, kita dapat
memperkenalkan kekayaan bahasa kita kepada khalayak penonton.
Untuk
mengatasi masalah pencemaran bahasa dalam filem Melayu, pihak yang terlibat
dalam industri perfileman perlu kembali kepada nilai budaya tempatan dan
kembali mengutamakan pengunaan bahasa Melayu yang berkualiti kerana “bahasa
menunjukkan bangsa” dan filem pula merupakan “cerminan bangsa”.
Sebagai
antara wahana hiburan yang kuat pengaruhnya dan mampu menyampaikan sesuatu
mesej secara berkesan, yang ditonjolkan melalui filem, biarlah sesuatu yang
baik dan dapat diteladani, termasuklah dari segi penggunaan bahasanya.
Perkara
yang sama juga berlaku dalam iklan-iklan di kaca TV, di mana penggunaan bahasa
rojak amat berleluasa. Sikap yang tidak mementingkan bahasa Melayu sebagai
bahasa komunikasi utama dan bahasa kebangsaan negara ini patut diambil serius.
Dengan bahasa yang menarik, pasti penonton juga akan tertarik.
No comments:
Post a Comment