Monday, 30 April 2012

Entri ke- 36


Perancangan bahasa


‘Perancangan bahasa’ merujuk kepada proses pembinaan dan pengembangan sesuatu bahasa untuk tujuan tertentu. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam bentuk undang-undangnya, perancangan bahasa Melayu diasaskan pada Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

Perancangan bahasa di Malaysia secara rasmi telah bermula satu tahun sebelum kemerdekaan apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu sebagai salah satu tonggaknya, iaitu sebagai bahasa penghantar utama. Usul Jawatankuasa Razak berserta usul penegasan Jawatankuasa Rahman Talib (1960) telah dijadikan asas Akta Pelajaran 1961 yang selama puluhan tahun menjadi asas pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini; malah Akta Pendidikan 1996 yang menggantiakn Akta Pelajaran 1961 pun dapat dikatakan mengekalkan semangat yang diusulkan oleh Penyata Razak. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Bahasa pada tahun itu juga merupakan usaha perancangan bahasa yang dilakukan oleh Kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi pembinaan negara.


Pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden untuk mengisi keperluan pembangunan negara telah dilakukan secara terancang apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, mula-mula sebagai jabatan kerajaan dan kemudian dengan lulusnya Akta DBP 1959, bertukar tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan. Pembinaan bahasa yang dikenal juga dengan nama perancangan korpus bahasa dilakukan dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.


Dalam usaha memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk menjadikannya berupaya menjadi bahasa ilmu moden, ribuan pakar dalam ratusan bidang, yang kesemuanya merupakan aset negara telah dan sedang terlibat secara intensif melakukan penggubalan istilah, menyusun glosari dan kamus istilah serta mengembangkannya dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam pengurusan institusi profesional masing-masing. Dalam usaha memperluas sumbangan kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka sudah pun merancang dan memulakan gerak langkah meliibatkan pakar-pakar ilmu dan profesional itu dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing, iaitu sebagai peningkatan dan peluasan daripada kerja penggubalan istilah selama ini.


Pengembangan bahasa Melayu di sektor swasta: Usaha dalam sector ini dimulakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1996 melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta. Empat bidang utama diberi tumpuan perhatian, iaitu Perdagangan Dalam Negeri, Industri Khusus, Industri Perkhidmatan Kewangan dan Media Massa. Dalam setiap bidang utama itu, terdapat beberapa subbidang hingga akhirnya terdapat lebih 10 bidang yang ditangani untuk mengembangkan bahasa kebangsaan dalam sektor swasta.


Proses perancangan bahasa ini adalah terbit daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah lakuan manusia yang serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya, istilahnya, dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah dikenal pasti dan dikodkan. Negara Malaysia, memang terlibat secara langsung di dalam hal ini untuk lebih daripada tiga puluh tahun lalu. Sebenarnya usaha merancangkan bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak perubahan kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua peringkat perancangan bahasa, dan melakukan semua aktiviti yang dibincangkan di atas. Banyak kebaikan dan masalah yang turut timbul.



No comments:

Post a Comment