Monday, 26 March 2012


Entri ke-21

Dialek Terengganu juga ada keistimewaan.




1 abih = habis
2 abih reng = sehabis upaya
3 abih tea = sekuat tenaga
4 acing perring = bau air kencing
5 acu = cuba
6 agah / beragah = orang yang berbadan kecil tetapi berani
7 agoh = orang yang sombong
8 air chor = air basuhan bertakung dari dapur / air longkang
9 air geh = air bikarbonat
10 air geh tujuh yupi - cap katung joget2 = air 7 up
11 air mati / air kosong = sky juice
12 air tuak = air nira
13 amah = 50 sen (ie: samah(50sen), dua amah(rm1.00),tiga amah(rm1.50)
14 ambe = saya
15 ambek = ambil

16 gaduh = tergesa-gesa
17 gaga = raba
18 gaha = menyental periuk @ kuali
19 ga-ha = gosok
20 gahar , gonyoh= gosok@rehal(tempat meletak al-quran)
21 gajut = beg plastik














Entri ke-20

Bahasa badan

Bahasa bukan sahaja boleh dilihat dan didengar melalui pertuturan tetapi bahasa juga boleh difahami melalui lenggok tubuh badan dan bunyi. Hal ini dikatakan sebagai bahasa isyarat. 

                                        

Kita boleh menggunakan bahasa badan dalam sesuatu masa yang tertentu bagi mempamerkan perasaan atau keinginan diri. Sebagai contohnya,

-Muka masam tandanya seseorang itu sedang marah.
-Melambai tangan tandanya untuk memberitahu tentang kehadiran kita kepada orang lain.
-Jelingan tandanya kita menyampah terhadap seseorang individu atau kumpulan.
-Selalu menguap menunjukkan sesorang mula berasa bosan terhadap perkara yang didengar atau dilihat.

Bahasa isyarat juga digunakan untuk berkomunikasi dengan orang bisu dan memudahkan interaksi berlaku. Setiap manusia menggunakan bahasa yang berbeza-beza walaupun tidak menggunkan ungkapan. Tetapi kita seharusnya perlu mengamalkan cara berbahasa yang baik walaupun menggunakan bahasa badan kerana setiap reaksi yang kita pamerkan ada maksudnya yang tersendiri kepada orang yang memerhati.

Friday, 23 March 2012


Entri ke-19

Bahasa Memujuk


Bahasa memujuk ialah bahasa psikologi yang boleh mendatangkan kesan kepada pelanggan, pembeli dan pendengar. Kesan kata-kata pujukan itu tidaklah begitu cepat dan bergantung pada jenis-jenis pelanggan. Bagi pelanggan yang keras kepala, bahasa yang digunakan pastilah yang lebih bersifat emosional, lama dan menggunakan pendekatan yang lebih lembut.



Bahasa memujuk bukan sahaja menarik minat pendengar atau pelanggan tetapi juga berupaya memerangkap mereka. Bahasa memujuk digunakan juga oleh media massa, umpamanya dalam iklan. Sebagai contoh, terdapat iklan yang memaparkan kata-kata yang berbunyi "Tunggu saja kemunculannya pada minggu depan". Penyataan ini tentu saja menimbulkan perasaan ingin tahu pendengar dan mereka akan ternanti-nanti pelancaran sesuatu produk atau perkhidmatan tersebut.


Contohnya:


Bahasa memujuk juga turut digunakan dalam situasi-situasi formal dan tidak formal bagi mempamerkan rasa dan keinginan terhadap sesuatu. Sebagai contoh pujukan seorang anak terhadap ibunya untuk membeli mainan.

Contoh situasi:
Anak: Ibu, Aiman janji dengan ibu yang Aiman tak akan nakal-nakal lagi, rajin pergi sekolah dan dengar cakap ibu. Aiman janji bu!
Ibu  : Betul?macam inilah baru anak ibu.
Anak: Betul...tapi bu, boleh tak kalau hari ini Aiman tak mahu pergi ke sekolah?hanya hari ini sahaja?boleh bu?
Ibu : Oo...patut la mulut tu manis macam gula tadi, ada udang di sebalik batu rupanya.

Thursday, 22 March 2012

Entri ke-18

Bahasa Halus dan Budaya Lisan

Semua orang ada sejarah bagaimana dia dididik untuk berbicara, biarlah saya terus menggunakan bahasa berlapik, seperti yang diajar oleh nenek-nenek dan ibu bapa saya sejak kecil lagi. Baik keluarga sebelah ibu, atau sebelah ayah, kami ada tradisi yang jelas susur-galurnya. Kami diajar supaya kalau hendak bergerak di belakang orang tua harus ditunduk sedikit badan dengan mulut berkata ‘minta tumpang lalu’, kalau mahu sesuatu harus meminta izin, kalau hendak makan perlu tunggu sehingga orang tua yang makan dahulu, kalau orang tua sedang bercakap yang lebih muda jangan menyampuk, kalau ada orang sedang berbicara di anjung sebaiknya kita yang muda-muda tidak mendengar apa yang mereka bualkan. Selain itu kalau ingin menghantar air ke hadapan seharusnya berlapik siap dengan talamnya dan kalau ingin bertemu tetamu yang lebih tua harus mencium tangannya tanda hormat dan banyak lagi. 



 

Bahasa ialah budaya sesebuah bangsa. Perubahan dalam taraf sosial dan cara hidup masyarakat secara tidak langsung akan mengubah bahasa sesebuah masyarakat. Oleh sebab itu masyarakat seharusnya didedahkan dengan pelbagai bentuk dan nilai-nilai budaya bahasa yang baharu. Banyak faktor yang mendorong ke arah penyusutan penggunaan bahasa halus. Bagaimanapun kecenderungan kumpulan-kumpulan tertentu dalam mereka bentuk bahasa slanga secara tidak langsung telah mengakibatkan penyusutan dalam penggunaan bahasa halus, secara mendadak. Bahasa halus ialah satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat Melayu.

Kegagalan masyarakat dewasa ini dalam mempraktikkan penggunaan bahasa halus sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah wujudnya budaya lisan yang biadab dan timbulnya pelbagai bentuk budaya sosial. Akhir-akhir ini kita sering mendengar si anak dapat mengutarakan isi hati mereka secara terbuka, kasar serta tanpa segan-silu lagi. Padahal sekiranya penggunaan bahasa halus dapat digunakan secara meluas, tentu sahaja dapat membendung kebiadaban pertuturan secara lisan. Penggunaan bahasa lisan yang meluas dapat memberi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat tentang budi bahasa.


Tuesday, 20 March 2012


Entri ke -17

Bahasa tulisan

Arahan dalam bahasa tulisan pula merupakan sesuatu catatan yang melarang atau mengarahkan seseorang melakukan sesuatu. Jika kita lihat, arahan tersebut biasanya dalam bentuk tulisan. 


Contoh arahan melalui tulisan.

Menurut kajian dan tinjauan yang telah dilakukan, bahasa tulisan lebih berkesan daripada bahasa lisan. Kajian menunjukkan bahawa maklumat diperolehi daripada pembacaan adalah sebanyak 10 peratus berbanding dengan maklumat yang diperolehi daripada mendengar, iaitu sebanyak 5 peratus. Dalam satu kajian, Wolff, Marsnik, Tacey dan Nichols (1983) juga mendapati bahawa 52 peratus penekanan pengajaran di dalam kelas untuk kemahiran membaca dan 8 peratus sahaja untuk kemahiran mendengar. Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca lebih penting dan lebih diamalkan oleh setiap individu dalam memperolehi sesuatu maklumat. Oleh sebab itu, arahan dalam bahasa tulisan lebih berkesan daripada arahan dalam bahasa lisan.

Oleh sebab itu sesetengah masyarakat lebih senang memberikan arahan dalam bentuk memo, papan tanda atau surat yang boleh menghalang si penerima arahan melihat reaksi kita yang sebenar kerana jika mereka dapat melihat reaksi kita yang mungkin pada keadaan itu sedang marah, sudah tentu akan mencetuskan suasana yang tidak elok atau mungkin akan menyebabkan pergaduhan. Arahan melalui tulisan juga salah satu unsur kesantunan kerana tidak melibatkan penggunaan nada suara yang tinggi dan bahasa yang kasar kerana mesej yang ingin disampaikan akan ditulis dalam bentuk yang mudah untuk difahami dan ringkas.

Monday, 19 March 2012


Entri ke-16 (Tugasan Berkaitan Dialek)

Dialek kelantan satu keunikan dalam sosiolinguistik bahasa.

Dialek- dialek yang tergolong dalam satu bahasa yang sama dan lazimnya mempunyai banyak ciri persamaan. Dialek Kelantan merupakan dialek yang paling susah difahami oleh penutur berbanding dialek lain. Dialek Kelantan lebih dekat pertaliannya dengan Bahasa Melayu Patani walaupun terdapat perbezaan ciri- ciri fonetik antara Bahasa Melayu Patani dengan dialek Kelantan.


Puisi Hok sengoti
Karya Lim Swee Tin



Laghe tok serupo denge suroh,

Hok comey bakpo duk pakat kato hudoh,

Saye sohh doh laeng denge beci,

Jerok mamey tok serupo denge jerok celagi.

Takot.. ado keno mengeno denge ketar gegar,

Serupo dahago ado sabit denge lapar,

Ngiga sebenarnyo ada sabit denge kemama,
Selok tak dok bezo denge tok kaba.
Sapo kato buluh tu galoh,
Sapo kato tekeng tu tok bekekoh,
Naka laeng sikit denge jahat,
Dawa pun oghe duk pangge krawak.
Kalu tunggo tok serupo turuh pagar,
Sengotilah tolo tok srupo denge panda,
Lagu mana gadoh, belah tu jugoklah lorat,
Toksohlah wak loloq tok kena hok mano dakak Hok mano krabak.
Demey tok keboh bezo denge leloh,
Senyung semeweh tok serupo denge sengeh,
Baling tu laen denge kipah angin,
Bereng.. abe sikit jah pado kerah keng.
Kito tok leh wak tok tetu kalu,
Oghe serabuk ngeleh kito tok tahu,
Kito duk ralit berembah badi cah keting,
Oghe laeng gi seruh-serah.
Kito duk pakat reboh teguling.
Ulat kekek jange wi tuka denge ulat belucah,
Jale bejeket jange kato srupo denge hungga derah,
Kalu karak buleh lagi kito peteri,
Hok gelonggong lagu mano pakat kato tokleh nok isi?
Payoh sengoti nok bekecek nok bekiro
Culah lagu laeng tok srupo denge celiko
Payoh jugk nok bezo mano lakoney mano sandiwaro
Hok sengotinyo, manih leting tu belung tetu ibu gulo!

Lim Swee Tin


Banyak kosa kata yang digunakan oleh Lim Swee Tin dalam puisi di atas tidak boleh diterjemah dalam bahasa Melayu tinggi.Sebagai contoh kosa kata "selok" dan "tok kaba" mempunyai makna yang seakan sama tetapi kosa kata "tok kaba" boleh diterjemahkan dengan maksud "tidak sedardalam bahasa Melayu tinggi tetapi kosa kata "seloktidak dapat diterjemahkan dalam bahasa Melayu tinggi kerana tidak ada makna yang khusus. Oleh sebab itu kosa kata tersebut boleh difahami dengan maksud "tok kabaiaitu "tidak sedar". Namun jika digunakan dalam ayat ianya akan membawa maksud yang berbeza.

Contoh: 

1) Suko selok Mat Ju tengok Leha gheboh depe ghumoh dio.
2) Mu ni tok kaba ko Milah lalu depe mu sakni?
3) Lepah jatuh muto pagi tadi Seme selok jugok skejak.


Maksud ayat:

1) Mat Ju ketawa terbahak-bahak (suka sampai tak ingat dunia) selepas melihat Leha jatuh di hadapan rumahnya.
2) Kamu tidak sedar yang Milah berjalan di hadapan kamu tadi?
3) Selepas terjatuh dari motornya pagi tadi Seman tidak sedarkan diri sementara waktu.






Sunday, 18 March 2012

Entri ke-15

Teguran atau sindiran?


Cuba perhatikan semua jenis teguran yang kita terima…
Perkara yang ingin ditekankan di sini adalah “sindiran”. Hasil daripada pemerhatian terhadap perkara ini, didapati majoriti individu yang menegur kesalahan bukannya menegur tetapi menjatuhkan air muka, ada juga yang sememangnya ingin menegur, tetapi turut menyelitkan unsur sindiran. Tahukah anda sindiran itu lebih tajam daripada marah?. Kurangnya keperihatinan hati orang yang memberi sindiran itu ialah pada keadaan orang yang di sindirkan.  Jika sindiran kita itu adalah sindiran untuk melawak tidak mengapa. tetapi jika ada isu sensitif dan orang itu menyindir, ia akan membuakkan perasaan benci kepada si penyindir danmenyebabkan  perhubungan itu tidak harmoni lagi.

Contoh 1:

Aminah: Amboi! tebalnya mekap, banyak sangat ke bedak di rumah kau Minah?.
Asmah  : Ya?aku rasa tidaklah tebal sangat, sekadar pakai bedak sahaja.
                 Kau hendak menyindir aku ke atau hendak bagi teguran sahaja?
(Sepatutnya menegur secara berhemah contohnya, "kau tak perasan banyak bedak yang kau pakai hari ini di muka?") 

Contoh 2: 

Alan: Wah! semakin gemuk kamu sekarang. Makan berapa kali dalam sehari?
Aziz : Aku tahu badan aku gemuk. Tidak perlulah kamu memerli aku.

(Seeloknya perkataan gemuk ditukarkan kepada bahasa yang lebih sopan iaitu sedikit berisi atau semakin sihat)

Contoh ayat yang dinyatakan di atas menunjukkan cara kita berkomunikasi. Kadang-kadang  komunikasi yang berlaku menggunakan ayat yang tidak sesuai untuk diujarkan disebabkan beberapa faktor yang memungkinkan orang yang mendengar perkara yang kita akan ujarkan berkecil hati. Sebaliknya kita perlu menggunakan bahasa yang santun bagi menggantikan beberapa perkataan yang dianggap sensitif jika bertujuan untuk menegur atau memberi nasihat. 

Jika teguran yang menggunakan ayat yang berbaur sindiran ianya akan menjejaskan komunikasi dan menyebabkan komunikasi tersebut terganggu. Oleh sebab itu kita perlu berhati-hati ketika berkomunikasi dan jikalau perlu selidiklah dahulu latar belakang orang yang ingin ditegur kerana bukan semua manusia yang mampu menerima teguran sebagai nasihat.


Contoh ayat yang menyelitakn unsur sindiran
                            

                                    379990 333847346629602 100000130196945 1572465 1265866620 n Tunggang Motosikal ala superman, Pelajar diperintah Kerja Khidmat Masyarakat 200 Jam

Thursday, 15 March 2012

 Entri ke-14


Hubungan dengan bahasa.

Saya cukup tertarik untuk menulis tentang antara hubungan manusia dengan penggunaan ayat atau bahasa. Kenapa saya berkata demikian?. Mungkin anda juga pernah malalui rentetan peristiwa seperti saya dan rakan melaluinya semasa bersembang di dalam bilik kuliah pada pagi tadi.

Petikan perbualan:


Mimi: Sempat atau tidak kita balik ke kolej selepas habis kelas media?atau terus ke
            kampus?
Saya: Harap-harap sempat sebab malas la solat...emmm...
Mimi: Itulah...malas nak solat..terpaksa berebut dengan pelajar lain.
Saya: Sebentar, maksud aku malas hendak solat di kampus sebab ramai orang, kalau 

            boleh hendak solat di kolej lebih selesa. Maksud kau?
Mimi: Ya, sama dengan maksud aku. Bukannya malas hendak solat, tapi malas hendak 
            berebut dengan orang untuk solat di kampus nanti.
          (Kami gelak bersama-sama mengenangkan percakapan kami yang dapat difahami
           antara satu sama lain walaupun masing-masing menggunakan ayat yang tergantung.)


Saya dan Mimi..>,<


Perkara seperti di atas mungkin belaku disebabkan hubungan yang telah terjalin dan mewujudkan hubungan sosial yang serasi antara kami berdua. Namun jika kami menggunakan ayat yang tergantung semasa berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali, kemungkinan besar mereka akan mudah membuat tanggapan negatif atau salah faham berdasarkan ayat yang kami gunakan.


Contoh lain yang dapat kita lihat:


Abu: mana?
Ahmad : kampus.


Dalam dialog di atas penggunaan ayat yang ringkas namun mewujudkan makna kepada si pengguna. Walaupun ianya ringkas, si pemakai bahasa tersebut dapat memahami ayat yang ditanya iaitu si penanya melontarkan soalan dan dijawab oleh orang yang ditanya dengan betul tanpa berlaku sebarang kekeliruan. Oleh sebab itu hubungan sosial dengan pemakaian bahasa sangat berkaitan kerana melalui hubungan juga akan wujud bahasa yang disebut sebagai bahasa slanga dan juga dialek. Selain itu, faktor hubungan juga menjadikan sesebuah bahasa menjadi lebih mudah dan senang untuk difahami. Tetapi pada pandangan saya lebih bagus jika kita menggunakan bahasa yang betul ketika berkomunikasi tambahan pula kita akan bergelar seorang guru bahasa Melayu suatu hari nanti.