Entri ke-18
Bahasa Halus dan Budaya Lisan
Semua orang ada sejarah bagaimana dia dididik untuk berbicara, biarlah saya terus menggunakan bahasa berlapik, seperti yang diajar oleh nenek-nenek dan ibu bapa saya sejak kecil lagi. Baik keluarga sebelah ibu, atau sebelah ayah, kami ada tradisi yang jelas susur-galurnya. Kami diajar supaya kalau hendak bergerak di belakang orang tua harus ditunduk sedikit badan dengan mulut berkata ‘minta tumpang lalu’, kalau mahu sesuatu harus meminta izin, kalau hendak makan perlu tunggu sehingga orang tua yang makan dahulu, kalau orang tua sedang bercakap yang lebih muda jangan menyampuk, kalau ada orang sedang berbicara di anjung sebaiknya kita yang muda-muda tidak mendengar apa yang mereka bualkan. Selain itu kalau ingin menghantar air ke hadapan seharusnya berlapik siap dengan talamnya dan kalau ingin bertemu tetamu yang lebih tua harus mencium tangannya tanda hormat dan banyak lagi.
Bahasa ialah budaya sesebuah bangsa. Perubahan dalam taraf sosial dan cara hidup masyarakat secara tidak langsung akan mengubah bahasa sesebuah masyarakat. Oleh sebab itu masyarakat seharusnya didedahkan dengan pelbagai bentuk dan nilai-nilai budaya bahasa yang baharu. Banyak faktor yang mendorong ke arah penyusutan penggunaan bahasa halus. Bagaimanapun kecenderungan kumpulan-kumpulan tertentu dalam mereka bentuk bahasa slanga secara tidak langsung telah mengakibatkan penyusutan dalam penggunaan bahasa halus, secara mendadak. Bahasa halus ialah satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat Melayu.
Kegagalan masyarakat dewasa ini dalam mempraktikkan penggunaan bahasa halus sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah wujudnya budaya lisan yang biadab dan timbulnya pelbagai bentuk budaya sosial. Akhir-akhir ini kita sering mendengar si anak dapat mengutarakan isi hati mereka secara terbuka, kasar serta tanpa segan-silu lagi. Padahal sekiranya penggunaan bahasa halus dapat digunakan secara meluas, tentu sahaja dapat membendung kebiadaban pertuturan secara lisan. Penggunaan bahasa lisan yang meluas dapat memberi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat tentang budi bahasa.
No comments:
Post a Comment